Thursday, October 9, 2008

Najib tanding Presiden


Najib tanding Presiden

Oleh NOR AZIAH JAAFAR, WAN RAMLI WAN MOHAMAD dan IRMAN HASHIM


Najib Tun Razak mengumumkan akan bertanding jawatan Presiden UMNO pada Majlis Mesra Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Terengganu di Kuala Terengganu, semalam. Ia turut dihadiri (dari kiri) Ahmad Said, Tengku Putra Tengku Awang dan Muhyiddin Yassin. – Gambar AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU 9 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini secara rasmi menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Mac depan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, keputusan bertanding jawatan tertinggi parti itu diambil selaras dengan langkah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut dan menyerahkan kepimpinan negara kepada beliau.

“Saya dengan rasa rendah hati dan penuh rasa tanggungjawab, ingin menawarkan diri untuk dicalonkan sebagai Presiden (UMNO),” katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Aidilfitri anjuran Badan Perhubungan UMNO Terengganu di sini hari ini.

Najib yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di sini pagi ini sempena lawatan kerja sehari ke Terengganu.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Tengku Putra Tengku Awang.

Pada sidang akhbar selepas itu, Najib berharap keputusannya itu akan membolehkan proses demokrasi dalam parti berjalan lancar dan terus subur di samping membolehkan semua ahli UMNO berganding bahu untuk memantapkan lagi parti.

Dengan adanya sokongan daripada akar umbi dan para perwakilan, beliau berikrar untuk meneruskan agenda perjuangan UMNO dengan pembaharuan yang dinyatakan oleh Presiden UMNO semalam.

Beliau mengharapkan kepercayaan dan keyakinan rakyat daripada semua golongan dan kaum termasuk pemimpin, ahli parti, kakitangan kerajaan, pasukan keselamatan, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, korporat serta golongan lama dan baru di Semenanjung, Sabah dan Sarawak supaya Barisan Nasional (BN) dapat dikukuhkan.

‘‘Sesungguhnya tugas sebagai pemimpin adalah satu amanah dan tanggungjawab yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. Insya-Allah saya akan melaksanakannya dengan cara yang terbaik. Semoga Allah memberi pertolongan dan memberkati kita semua,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya calon yang sesuai untuk bergandingan dengannya sebagai Timbalan Presiden, Najib berkata, beliau akan memberikan komen mengenai perkara itu pada waktu lain.

Mengenai perancangannya apabila menjadi Perdana Menteri, beliau menjelaskan, dalam tempoh enam bulan lagi, Abdullah akan terus menerajui negara dan semua pihak perlu memberi sokongan padu kepadanya untuk melaksanakan pembaharuan yang dirancang.

Ketika ditanya jika terdapat calon lain yang menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO, katanya: “Apa hendak buat, kita melalui proses demokrasi... saya tetap menghormati suara ahli-ahli parti.”

Najib yang dilahirkan pada 23 Julai 1953 menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri sejak 7 Januari 2004 selain dilantik menjadi Menteri Kewangan baru-baru ini.

Anak lelaki kedua bekas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein itu merupakan Menteri Besar paling muda dalam sejarah negara apabila dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ketika berusia 29 tahun.

Beliau pernah menjawat jawatan Menteri Pendidikan, Menteri Pertahanan, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Timbalan Menteri Kewangan serta Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos.

Najib umum bertanding jawatan Presiden UMNO


Najib umum bertanding jawatan Presiden UMNO
09/10/2008 4:50pm



Datuk Seri Najib Tun Abd Razak(dua dari kiri) diiringi Datuk Seri Salleh Mohd Nor (kiri) Datuk Ahmad Said (dua kanan) dan Datuk Sabri Ismail (kanan) merasmikan "Countdown" FEI-World Endurance Championship (WEC) 2008 di Kompleks Sukan Gong Badak

Wednesday, October 8, 2008

Tolak golongan tak hormati pemimpin negara

Tolak golongan tak hormati pemimpin negara - Najib

09/10/2008 12:04pm

KUALA TERENGGANU 9 Okt. – Rakyat digesa menolak mana-mana golongan yang tidak menghormati dan berkelakuan kurang ajar terhadap pemimpin negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak rela sikap itu menjadi amalan kerana jika ia dibiarkan boleh menggugat kestabilan negara. - Utusan